Bernhardt enggan bereksperimen lagi

By Ammar Hakim 6 October 2016
Bernhardt enggan bereksperimen lagi

Jurulatih B-22 tahun negara, Frank Bernhardt, enggan bereksperimen apabila akan mengekalkan pemain hampir sama untuk kesebelasan utama menentang Brunei di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Untuk kem latihan pusat kali ini, Bernhardt menyenaraikan empat muka baru -- Aqil Irfanuddin, Zarulizwan Mazlan, Danial Ashraf dan terbaru, Zulkhairi Zulkeply, menggantikan tempat Ariff Farhan yang diketepikan ekoran kecederaan.

Namun, Bernhardt tidak mahu membuat perubahan drastik dalam kesebelasan utamanya bagi mengelak berlaku masalah keseimbangan pemain berdepan Brunei.

“Kami melakukan kurang pertukaran kerana kami cuba mendapatkan pemain-pemain terbaik yang akan beraksi dalam Sukan SEA tahun hadapan,” kata Bernhardt.

Ini bermakna pemain-pemain seperti Adib Zainuddin, Dominic Tan, Khairil Anuar Zambri dan Jafri Firdaus Chew akan menjadi taruhan utama Bernhardt.

Adib, yang beraksi bersama UiTM FC, berkata sesiapapun yang beraksi, semangat juang tinggi perlu ditampilkan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

“Kami akan cuba mengurangkan kesilapan dan memperbaiki bahagian yang kami masih lemah menjelang perlawanan ini,” kata Adib.

About Author

Ammar Hakim

Comment