Benteng tengah bunuh aksi PBMM-PBSM FC

By Ammar Hakim 20 February 2017
Benteng tengah bunuh aksi PBMM-PBSM FC

Ketua jurulatih PBMM-PBSM FC, Zulakbal Abdul Karim, menyifatkan kesilapan benteng tengah telah "membunuh" pasukan itu dalam saingan menentang Kuching FA di Stadium Negeri, semalam.

"Kesilapan itu tidak boleh dimaafkan, kerana ia berlaku dua kali, hingga membolehkan penyerang lawan, Sufizal Ismail, mudah melakukan kuisan ke dalam gawang gol," katanya.

Menurutnya, tanpa kesebelasan utama yang cedera selepas aksi menentang Perak dalam saingan Piala FA, anak-anak buahnya jelas gagal memberi fokus kepada perlawanan semalam.

"Mereka mengambil masa yang agak lama untuk mententeramkan diri dan ini menyebabkan pasukan tuan rumah dapat merancang gerakan-gerakan berbahaya.

"Malah, mereka berada dua gol di depan berikutan kawalan pertahanan yang tidak ketat selain kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Pada masa yang sama, beliau mengakui pemain-pemainnya berusaha untuk melakukan serangan balas, namun aksi tersebut disekat oleh sentuhan penyudah yang gagal.

"Pada masa yang sama, mereka juga terbawa-bawa dengan permainan Kuching FA dan hanya selepas pasukan lawan keletihan, baharu kita dapat menemui kembali rentak permainan.

"Itu pun sudah terlambat kerana kita telah dibolosi dua kali.

"Selepas jaringan Yusaini Hafiz Chee Saad pada minit ke-76, anak-anak buah saya berusaha memburu gol penyamaan, namun pasukan lawan mula mencatur halangan yang mengekang segala peluang."

Berhubung persediaan perlawanan berikutnya menghadapi Syarikat Air Melaka Berhad, Zulakbal menjangkakan pihaknya akan menghadapi laluan sukar.

"Sukar kerana kita telah menewaskan mereka dalam aksi pusingan pertama Piala FA sebelum ini.

"Justeru, mereka pasti akan bermati-matian untuk aksi balas dendam," tambahnya.

About Author

Ammar Hakim

Comment

Read Next

Sengketa Chong Wei-Frost ibarat kanser

By Ammar Hakim 18 Februari 2017. 11.51 AM