Bengaluru sekat hajat JDT raih bekalan selesa

By Staff Writer 28 September 2016
 Bengaluru sekat hajat JDT raih bekalan selesa
JDT 1 BENGALURU 1

Penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT), gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang Bengaluru FC dalam saingan separuh akhir pertama Piala AFC di Stadium Larkin, malam ini. 


Begitupun, pengendali JDT, Mario Gomez, tetap berkeyakinan tinggi mereka mampu mencatatkan kemenangan di tempat lawan, 19 Oktober nanti. 

"Saya gembira dengan pasukan saya hari ini kerana mereka bermain bagus dan mencipta banyak peluang. 

"Tetapi pengadil pada malam ini teruk," kata Gomez merujuk kepada senarai penyimpan kad kuning dalam kem pasukannya. 

Pada aksi di peringkat kumpulan ketika berdepan wakil India itu, JDT merakamkan dua kemenangan ke atas Bengaluru di laman sendiri dan juga tempat lawan. 

Beraksi di kubu keramat mereka malam ini, JDT berazam untuk meneruskan rekod kemenangan ke atas Bengaluru. 

Azamuddin Akil hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-32, bagaimanapun percubaannya gagal menembusi benteng pertahanan pelawat. 

Asakan demi asakan dilancarkan kedua-dua pasukan, namun tiada jaringan dihasilkan pada babak pertama. 

Penantian JDT untuk merobek gawang Bengaluru berhasil menerusi tandukan Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-53, untuk memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah. 

Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Eugeneson Lyngdoh menyamakan kedudukan hasil rembatan dari luar kotak penalti, empat minit kemudian. 

Menyedari situasi itu memberi kelebihan gol di tempat lawan, Gomez lantas membuat dua pertukaran dengan memasukkan S. Chanturu dan Amri Yahyah untuk menyuntik kesegaran di bahagian serangan.

Daripada satu sepakan sudut di hujung permainan, Marcos Antonio hampir menghadiahkan kemenangan buat Harimau Selatan tetapi tandukannya kali ini sedikit sipi dari pintu gol lawan. 

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Al-Quwa Al-Jawiya (Iraq) turut diikat 1-1 oleh Al-Ahed (Lubnan).

Kredit imej: Johor Southern Tigers

About Author

Staff Writer

Comment