Baddrol ikrar cipta impak berbeza bersama Harimau Malaysia

By Jannah Ali 16 November 2016
Baddrol ikrar cipta impak berbeza bersama Harimau Malaysia
Pemain tengah negara, Baddrol Bakhtiar, berikrar untuk mencipta impak berbeza dalam skuad kebangsaan sesudah diberi kepercayaan memegang watak utama dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF, bermula hujung minggu ini.

Baddrol akan membuat penampilan ketiga dalam kejohanan itu sejak 2012.

Namun, tonggak Kedah itu gagal menyerlah dalam dua edisi terdahulu ketika skuad negara di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal pada 2012 dan Dollah Salleh pada 2014.

Ketika edisi 2014, dia dibayangi pemain-pemain seperti Azamuddin Akil, Indra Putra Mahayuddin dan Safiq Rahim.

Bagaimanapun, ketiadaan pemain terbabit untuk edisi kali ini, membuka peluang buatnya untuk membarisi kesebelasan utama, tambahan peranannya ditagih dalam percaturan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee.

"Tahun sebelum ini, saya lebih banyak berada di bangku simpanan tetapi kali ini saya tersenarai dalam kesebelasan utama.

"Bagi saya, tahun ini saya akan memikul tanggungjawab yang lebih daripada tahun-tahun sebelum ini.

"Saya akan memberikan persembahan sebaik mungkin dan akan membantu Malaysia pada tahun ini.

"Semua pasukan dalam kumpulan kami merupakan pasukan yang kuat, kami tidak akan mengambil mudah cabaran mereka dan kami akan memastikan tiga mata menjadi milik kami dalam perlawanan pertama," katanya.

Baddrol dijangka bergandingan dengan Irfan Fazail di bahagian tengah selain Shahrul Saad serta S. Veenod.

Pemain kelahiran Sungai Petani itu berjaya membentuk gandingan mantap, terutamanya bersama Irfan, ketika membantu skuad negara meraih kemenangan 2-1 menentang Papua New Guinea, di Stadium Shah Alam, kelmarin.

About Author

Jannah Ali

Comment