Azmi tagih sentuhan berbisa import The Fighters

By Ammar Hakim 21 January 2017
Azmi tagih sentuhan berbisa import The Fighters

Pengendali Felda United, Azmi Mohamed, menagih sentuhan berbisa awang importnya untuk menggempur kubu PKNS dalam perlawanan pertama Liga Super 2017 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini.

Felda United melakukan transformasi besar-besaran pada musim ini.

Selain Azmi yang dilantik Oktober lalu bagi mengantikan Irfan Bakti Abu Salim, Felda turut dibarisi 13 pemain baru, termasuk tiga import, Gaston Cellerino dan Lucas Cano dari Argentina serta Moomtaz Junaidi dari Lubnan untuk memperkasakan skuad The Fighters.

“Mereka telah banyak membantu meningkatkan mutu permainan pasukan, saya yakin kombinasi pemain tempatan dan import mampu menghasilkan aksi yang mantap musim ini,” katanya.

Azmi juga yakin misi tiga mata mampu diraih jika barisan pemainnya mengekalkan corak permainan seperti ditampilkan ketika aksi pra-musim.

Felda United mengharungi 12 perlawanan pra-musim, dengan mencatatkan lapan kemenangan manakala masing-masing tewas dan seri sebanyak dua kali.

Perlawanan terakhir pra-musim mereka adalah menentang menentang Melaka United pada 16 Januari lalu yang dimenangi Felda 2-1.

“Kami telah merombak pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini, saya berharap segalanya berjalan dengan lancar.”

About Author

Ammar Hakim

Comment