Azali, Fakhrurazi tekad pikat hati Rahmad

By Ammar Hakim 18 January 2017
Azali, Fakhrurazi tekad pikat hati Rahmad

Pemain sayap T-Team, Muhammad Azalinullah Alias, bertekad mahu membuktikan keupayaan di pentas Liga Super selepas mendapat kepercayaan pengendali pasukan, Rahmad Darmawan, untuk membarisi skuad utama, musim ini.

“Saya akan terus berusaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama serta diberikan peranan untuk membantu pasukan ini.

“Meskipun ramai pemain yang beraksi di posisi sayap seperti pemain berpengalaman, Mohd Nor Hakim Hassan, Muhd Takiyuddin Roslan dan Mohd Zarulizwan Mazlan, saya akan berusaha untuk memikat hati barisan kejurulatihan,” ujarnya.

Pemain berusia 21 tahun itu bukan saja memiliki corak permainan lincah, malah merupakan antara watak penting skuad Piala Presiden T-Team yang muncul naib juara, musim lalu.

“Peluang untuk membuktikan keupayaan telah diberikan sepanjang perlawanan pra-musim dan saya telah mendapat sedikit keyakinan untuk menghadapi saingan musim ini.

“Kini saya bersedia merebut tempat untuk beraksi dalam perlawanan pertama menentang Sarawak, Jumaat ini,” tambah Azali.

Nada sama turut disuarakan pemain tengah, Mohd Fakhrurazi Musa, 26, yang kembali semula ke pangkuan T-Team selepas tujuh musim berkelana.

“Slot pemain tengah menyaksikan saya perlu bersaing dengan dua pemain import, Dilshod (Sherofetdinov) dan (Mamadou) Samassa, serta Badrol Hisyam (Moris) dan rakan-rakan dari Piala Presiden.

“Saya juga bersedia sekiranya ketua jurulatih (Rahmad Darmawan) meletakkan saya di mana-mana posisi.

“Apa yang penting, kami harus memberikan yang terbaik sepanjang sesi latihan dan membuktikan kepada barisan kejurulatihan bahawa kami mampu berada dalam skuad utama,” tambahnya.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment