Asyraaf kekal kendalikan skuad bola sepak wanita

By Shaiful Shamsudin 8 November 2016
Asyraaf kekal kendalikan skuad bola sepak wanita
Pasukan bola sepak wanita negara sekali lagi mendapat khidmat Mohd Asyraaf Fong Abdullah sebagai pengendali selepas beliau diberi kepercayaan untuk membawa cabaran skuad itu dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur, tahun depan.

Ketika dihubungi, jurulatih berusia 48 tahun itu berkata beliau akan memulakan tugas sebagai ketua jurulatih pada 15 November ini dengan 25 pemain, termasuk lapan muka baru, akan dipanggil untuk menyertai kem latihan.

Katanya, beliau kini diberi peluang lebih lama untuk membentuk pasukan berbanding dua kejohanan Piala AFF sebelum ini, iaitu pada 2015 di mana dia hanya diberikan tiga bulan untuk mengadakan persiapan manakala tahun ini tempoh persediaan hanya satu setengah bulan.

"Kem fasa satu akan bermula pada 15 November sehingga 19 Disember depan dan ini memberi peluang kepada saya untuk mencari serta mengenal pasti bakat baru di samping memperbaiki kebolehan teknikal pemain," katanya.

Sementara tu, Asyraaf berkata masalah utama dihadapi skuad bola sepak wanita negara ketika ini ialah ketiadaan liga kompetitif yang boleh dijadikan medan mencari bakat.

"Saya terpaksa menunggu kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah yang akan diadakan pada awal Mac 2017 untuk mencari bakat baru yang mampu menggalas tugas pasukan negara.

"Setakat ini, kesemua 25 pemain, termasuk enam dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Sabah belum berada dalam senarai akhir kerana saya juga akan memanggil senarai baru  selepas berlangsungnya Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) dan Piala Tun Sharifah Rodziah nanti."

Terdahulu, Asyraaf yang juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berterima kasih kepada Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UMS, Prof Madya Dr Ismail Ali, kerana membenarkan beliau untuk menyumbang tenaga sebagai jurulatih.

"Saya akan menggalas tugas yang diberikan ini dengan penuh komitmen dan cuba mendapatkan keputusan yang lebih baik," katanya sambil menambah beliau juga akan turut dibantu dua lagi jurulatih, iaitu Mohd Aiyyman Shah Johnny @ David Johnny dan Irwan Jamil.

Sebagai rekod, skuad negara di bawah kendalian Asyraaf pernah menewaskan Singapura 2-0 dalam aksi persahabatan kelas A, seri sekali dan kalah sekali kepada pasukan Pro Liga Utama China, Guang Zhou FC, dalam aksi persahabatan di negara tembok besar itu.

Sementara itu, dalam Kejohanan Piala AFF 2016 di Myanmar, Ogos lalu, Malaysia tewas kepada Australia 4-0 dan Myanmar 2-1, sebelum mengalahkan Timor Leste 13-0.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment