Annuar Musa sedia dilantik sebagai Presiden FAM

By Ammar Hakim 15 January 2017
Annuar Musa sedia dilantik sebagai Presiden FAM

Tan Sri Annuar Musa, bersedia menawarkan dirinya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan mana-mana presiden 19 ahli badan gabungan tidak bertanding.

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu mengakui cukup berminat menduduki kerusi presiden FAM namun segalanya bergantung kepada banyak faktor.

Tambahnya, beliau tidak pernah berhasrat menentang penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menganggap baginda sebagai calon berkelayakan.

Namun, jika tiada individu berkelayakan bertanding, Annuar bersedia berada di kerusi nombor satu FAM itu.

“Jika Tunku Ismail tetap tidak mahu menjadi presiden FAM, maka pada pendapat saya, salah seorang daripada presiden badan gabungan perlu bersedia mengambil tanggungjawab tersebut, jika tiada siapa yang masih tidak mahu mendapatkan jawatan tersebut, saya bersedia untuk dilantik menjadi presiden FAM,” kata Annuar.

Walaupun begitu, beliau sekali lagi menyatakan pendirian tidak akan menerima calon proksi kerana ia bertentangan dengan perlembagaan FAM.

Baginya, sesiapa sahaja yang memimpin FAM perlulah mereka yang benar-benar berkelayakan.

“FAM tidak boleh dipimpin melalui calon proksi, malu negara kita kepada dunia kerana setiap presiden yang dipilih haruslah menerusi undang-undang yang telah ditetapkan.”

About Author

Ammar Hakim

Comment