Annuar: Jom sertai konsortium Al-Hamra demi kemajuan TRW

By Ammar Hakim 7 January 2017
Annuar: Jom sertai konsortium Al-Hamra demi kemajuan TRW

Selepas menunaikan janji untuk memastikan Kelantan beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini,  bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar  Musa, mengajak pelbagai pihak menyertai konsortium penaja The Red Warriors (TRW) yang bakal ditubuhkannya.

Annuar dalam laman sosialnya hari ini mengesahkan dua syarikat yang menjadi penaja utama TRW musim ini, Al-Hamra Group dan redONE  Malaysia, ingin menjemput  pihak yang berminat untuk mengadakan perbincangan dengannya sehingga tarikh akhir tawaran Sabtu depan.

“Konsortium Al-Hamra. Pelawaan dibuka kepada syarikat, perbadanan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yayasan dan lain-lain yang ingin bersama kami menaja pemain, pegawai dan pasukan TRW. 

“Juga untuk merancang pelan perniagaan bersama kami. Yang berminat boleh hubungi saya tidak lewat dari 14 Januari 2017 (Sabtu) untuk perbincangan terperinci,” katanya.

Annuar juga menjelaskan keinginannya untuk mengumpul sebanyak mungkin dana bagi membolehkan TRW bersaing sebagai pencabar utama dalam Liga Super.

“Kami bertekad untuk mengumpul dana seberapa cukup untuk membolehkan TRW (sebuah pasukan milik rakyat)  dapat bersaing dalam Liga Super. Biar miskin harta tapi kita tidak miskin jiwa. Usaha tangga jaya,” katanya.

Terdahulu, dalam sidang media yang diadakan di Kota Bharu, pagi semalam, Annuar menerangkan hasratnya untuk mengajak tujuh atau lapan syarikat lain untuk membentuk konsortium bersama syarikatnya, Al-Hamra dan redONE.

Beliau juga meluahkan hasrat peribadi untuk mencari dana sekurang-kurangya RM10 juta hasil daripada pembentukan konsortium tersebut.

Annuar, yang dianggap sebagai Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan, memohon sedikit masa untuk menyelesaikan isu ini dan berjanji akan menggembirakan penyokong setia yang berdiri teguh di belakang KAFA.

“Beri masa sehari dua lagi, Insya-Allah ada sesuatu yang menggembirakan anda yang setia. Dan sedikit mengecewakan mereka yang mahu melihat kita gagal. 

“Saya harap pemain dan pegawai bersiap sedia, bukan sahaja esok masih ada, malah esok yang lebih cerah buat TRW 2017,” katanya.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment

Read Next

Muar BC Seals Top Spot

By Ammar Hakim 7 Januari 2017. 11.22 AM