Amri mahu bantu Malaysia raih kemenangan ke atas Filipina

By Ammar Hakim 20 March 2017
Amri mahu bantu Malaysia raih kemenangan ke atas Filipina

Penyerang skuad Harimau Malaysia, Mohd Amri Yahyah, enggan berputih mata tanpa jaringan selain sedar dengan tugas penting untuk negara bagi membawa kemenangan dalam aksi persahabatan antarabangsa berdepan Filipina di Manila, Rabu ini.

Amri, yang kini bersama pasukan Melaka United, bertekad mahu melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya bersama skuad negara untuk memburu kemenangan selepas sering kali berdepan keputusan seri menentang Filipina sebelum ini dalam aksi persahabatan.

Sudah pasti ia bukan satu perlawanan yang mudah memandangkan mereka menyedari ranking Filipina yang jauh lebih baik di kedudukan 124 dunia berbanding Malaysia yang berada di tangga 161.

“Dengan taktikal baru yang diterapkan oleh pengendali pasukan, saya melihat pemain-pemain lebih serasi. Saya berharap kami akan menterjemahkannya dengan kemenangan dalam perlawanan ini,” katanya.

Dalam pada itu, tonggak pertahanan negara, Mohd Afif Amiruddin, pula lebih bersikap terbuka sama ada dipilih atau tidak dalam kesebelasan utama selain percaya dengan ramuan pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, demi kemenangan di Manila.

“Pada saya, perlawanan persahabatan tidak akan memberikan tekanan kepada kami, apa yang penting adalah kemenangan dapat diraih untuk mengumpul mata demi memperbaiki kedudukan ranking pasukan,” jelas Afif.



About Author

Ammar Hakim

Comment