Alif manfaat kepercayaan Elavarasan

By Staff Writer 26 September 2016
Alif manfaat kepercayaan Elavarasan

Pemain muda PKNS, Muhd Alif Haikal, membalas kepercayaan jurulatihnya, E. Elavarasan, apabila menjaringkan gol pertama musim ini ketika menewaskan Melaka 3-1 dalam Liga Perdana 2016 pada Sabtu.

Alif memainkan peranan penting ketika membantu PKNS mencatatkan kemenangan berharga itu yang harus menjadi talian hayat pasukannya untuk layak ke Liga Super musim depan.

Bekas pemain Harimau Muda C ini banyak menghasilkan gerakan yang mengucar-kacirkan pertahanan lawan. Buktinya dia hampir meloloskan diri daripada kawalan pertahanan lawan untuk menjaringkan gol, namun dikasari di dalam kotak penalti oleh pemain Melaka, Wan Amirul Afiq.

Bagi menebus kekecewaannya, dia terus mempamerkan aksi konsisten untuk menyumbangkan satu gol pada babak kedua dalam pertemuan tersebut.

“Ini merupakan hasil taktikal jurulatih Elavarasan, beliau meminta kami melakukan larian-larian ketika menyerang, dan ia telah membuahkan hasil dengan kemenangan ke atas Melaka,” kata Alif.

Mengulas peranan Alif, Elavarasan gembira dengan persembahan anak buahnya dan tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan pemain muda itu dalam perlawanan terakhir Liga Perdana 2016 menentang Kuala Lumpur, 21 Oktober nanti.

“Sebagai pemain daripada Piala Presiden, Alif mempamerkan aksi yang memberangsangkan, kami cuba memberikan peluang kepada pemain-pemain muda untuk mendapatkan pengalaman beraksi dalam Liga Perdana,” jelas Elavarasan.

About Author

Staff Writer

Comment