Aksi lawan B-22 Myanmar dibatalkan

By Staff Writer 1 December 2016
Aksi lawan B-22 Myanmar dibatalkan

Pengendali skuad B-22 tahun negara, Frank Bernhardt, mengesahkan aksi persahabatan menentang Myanmar dibatalkan dan digantikan dengan pertemuan menentang Filipina di Manila, 8 Disember ini.

Skuad B-22 tahun negara sepatutnya mengadakan dua pertemuan dengan skuad B-22 Myanmar di Yangon pada 9 dan 12 Disember.

Namun, ia tidak dapat dilangsungkan atas sebab yang tidak dinyatakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, ia dipercayai bagi memboikot isu Rohingya di negara itu yang sebelum ini membelenggu skuad senior yang beraksi dalam Piala Suzuki AFF di Yangon baru-baru ini.

Tampak kecewa perlawanan itu dibatalkan, Bernhardt, bagaimanapun, sedikit lega apabila FAM berjaya mendapatkan satu perlawanan sebagai pengganti.

"Dua perlawanan menentang Myanmar merupakan harapan awal saya tetapi jika ia tidak akan berlaku, bermakna saya perlu akur kerana keputusan ini datang daripada pihak yang lebih tinggi.

"Jadi, saya akan cuba mendapatkan keputusan yang terbaik dengan senario ini kerana satu perlawanan latihan adalah lebih baik daripada tiada langsung," jelas Bernhardt.

Skuad B-22 negara menjalani sesi ujian kecergasan pada hari pertama kem latihan pusat di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil hari ini.

Mereka akan diuji dalam satu perlawanan latihan sebelum berlepas ke Manila pada 6 Disember ini.

About Author

Staff Writer

Comment