Aksi konsisten dalam saingan liga suntik keyakinan pertahanan negara

By Shaiful Shamsudin 16 March 2017
Aksi konsisten dalam saingan liga suntik keyakinan pertahanan negara
Pemain pertahanan negara, Shahrom Kalam, mengakui kini lebih bersedia untuk berdepan Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 22 Mac ini, berbanding dalam saingan Piala Suzuki AFF yang lalu. 

Dalam kempen Piala Suzuki lepas, Shahrom baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut dan hanya berada di bangku pemain simpanan Selangor dalam saingan separuh akhir dan akhir Piala Malaysia. 

Menyarung jersi Perak musim ini, Shahrom setakat ini beraksi dalam kesemua perlawanan Liga Super membabitkan The Bos Gaurus. 

"Kali ini, saya berasa yakin kerana telah bermain dalam banyak perlawanan bersama Perak. 

"Saya sudah bersedia. Ini persaingan yang sihat dan siapa yang lebih bagus akan diturunkan," katanya.

Turut berada di tahap terbaik ketika ini ialah pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Fadhli Shas. 

Begitupun, Fadhli sedar saingan merebut tempat selaku pertahanan tengah turut mencabar kali ini dengan kehadiran Shahrom, Afif Aminuddin, Ronny Harun dan juga Khairul Helmi Johari dengan berkata, "Perkembangan ini bagus untuk pasukan negara kerana sudah pasti semua pemain akan memberikan yang terbaik agar terpilih untuk beraksi.

"Saya memiliki keyakinan itu tetapi tidak akan mengambil mudah kerana kami perlu memberikan komitmen 100 peratus."

Dalam pada itu, pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, turut optimis dengan keampuhan benteng tengah negara kali ini. 

Kesemua lima pemain pertahanan tengah yang disenaraikan kali ini berada di tahap terbaik bersama pasukan masing-masing dalam saingan Liga Super. 

"Mereka merupakan pemain utama kepada pasukan masing-masing. 

"Ini merupakan kelebihan kepada mereka dari segi aksi permainan dan memiliki momentum untuk bermain di peringkat lebih tinggi," ujarnya. 

Kim Swee enggan memandang mudah cabaran Filipina meskipun dua wakil negara, JDT dan Felda United, meraih keputusan positif ke atas kelab negara itu, Global FC dan Ceres Negros, dalam saingan Piala AFC, minggu ini. 

"Kita tahu Filipina mempunyai ranking yang cukup baik dan rata-rata pemain mereka beraksi di luar negara. 

"Saya percaya Filipina akan mengambil serius perlawanan ini kerana mereka perlu menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia," tambahnya. 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment