Aksi kedua Malaysia, Korea Utara juga mungkin di venue berkecuali

By Shaiful Shamsudin 11 March 2017
 Aksi kedua Malaysia, Korea Utara juga mungkin di venue berkecuali
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, menegaskan andai ketegangan diplomatik membabitkan Korea Utara dan Malaysia masih belum selesai, aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2019 berkemungkinan besar perlu diadakan di venue berkecuali. 

Kebarangkalian beraksi di venue berkecuali begitu tinggi kerana Windsor sendiri menegaskan hal itu sudah pun berada dalam perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Korea Utara, ketika ini.

Ia memakan tempoh selama 45 hari, merujuk kepada keputusan penundaan tarikh yang dibuat semalam, sekiranya ketegangan hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara masih sama, Korea Utara diminta menghantar usul mengenai pilihan venue aksi di gelanggang berkecuali. 

"Kami sedang berbincang dengan pihak Korea Utara untuk mendapatkan usul mereka. 

"Jika situasi diplomatik tidak berubah, mereka harus memberi nama kepada kami mengenai venue berkecuali," ujarnya. 

Hal itu sedikit-sebanyak memberi kelegaan kepada Malaysia, terutama membabitkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang mahukan penganjuran Kelayakan Piala Asia lebih mengutamakan keselamatan setiap pasukan bertanding. 

Bagaimanapun, sekiranya Korea Utara menerima usul aksi di gelanggang berkecuali, Malaysia juga bakal terlepas peluang untuk muncul sebagai pasukan tuan rumah bagi pertemuan kedua membabitkan Malaysia dan Korea Utara pada 14 November nanti. 

Tegas Windsor, bagi berlaku adil, Malaysia juga perlu memberi usul berhubung pilihan gelanggang berkecuali dalam aksi kedua nanti, sama seperti mana yang dilakukan Korea Utara sekiranya perlu. 

"Perlawanan kedua Malaysia dengan Korea Utara juga harus dimainkan di gelanggang berkecuali untuk kami memastikan merit kesukanan itu dikekalkan. 

"Perlawanan seterusnya adalah pada 13 Jun depan, jadi kami harus mengambil kira semua keadaan juga."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment