Aksi goyah skuad B-22 negara bermula dari minit pertama

By Shaiful Shamsudin 8 February 2017
 Aksi goyah skuad B-22 negara bermula dari minit pertama
Kerapuhan permainan negara bermula sebaik skuad B-22 Vietnam berhasil mendapatkan gol pertama, demikian ulasan yang diberikan jurulatih skuad B-22 negara, Frank Bernhardt. 

Kekalahan 3-0 kepada Vietnam malam tadi dianggap penampilan terburuk pasukan remaja negara sepanjang di bawah kendalian jurulatih berasal dari Jerman itu. 

"Ketika kami ketinggalan 1-0, kami mula menghadapi masalah. 

"Dan pada akhirnya, Vietnam turun untuk mencapai kemenangan," ujar Bernhardt. 

Skuad negara ternyata gugup sebaik wisel ditiupkan dan kesilapan Ahmad Khairil Anuuar yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit pertama memakan diri dan kesempatan itu diambil oleh Ho Tuan Tai untuk meletakkan Vietnam di hadapan. 

Vietnam terus garang dengan larian solo ketua pasukan, Nguyen Cong Phuong, pada minit ke-18 selepas berjaya melepasi kawalan pertahanan negara sebelum sempat dinafikan penjaga gol, Ahmmad Syihan Hazmi. 

Namun, pertahanan negara sekali lagi dihukum dengan kerapuhan di bahagian kanan yang bijak dimanfaatkan barisan serangan Vietnam, dua minit sebelum menuju waktu rehat dengan Van Toan melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua tuan rumah. 

Ketua pasukan, Nguyen Cong Phuong, memahatkan malam derita buat Malaysia dengan jaringan ketiga pada minit ke-82 menerusi skil individu menarik sebelum melencongkan bola melepasi jangkauan Amierul Hakimi Awang. 

"Inilah yang saya tuntut daripada pemain. 

"Mereka berjaya memenuhi harapan yang saya letakkan dan menjalankan tanggungjawab dengan baik di atas padang. 

"Mentaliti dan karektor yang dipamerkan pemain nyata konsisten sehingga tamat permainan," kata jurulatih Vietnam, Hoang Anh Tuan. 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment