Ahli gabungan FAM adakan perjumpaan tertutup dengan TMJ

By Staff Writer 9 October 2016
Ahli gabungan FAM adakan perjumpaan tertutup dengan TMJ

Isu kerusi panas presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) makin hangat apabila beberapa ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu mengadakan perjumpaan tertutup dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pada Ahad.

Perjumpaan yang diadakan secara senyap-senyap di Johor Bahru itu dihadiri 13 wakil ahli gabungan FAM.

Antara yang kelihatan wakil daripada Persatuan Bola Sepak Melaka, Persatuan Bola Sepak Selangor dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur .

Turut berada dalam perjumpaan itu ialah dua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Datuk Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundram.

Astro Arena difahamkan, perjumpaan diadakan bagi mendapatkan persetujuan baginda untuk menjadi presiden FAM.

"Saya hadir tadi sekadar untuk mendengar. Keputusan masih belum dibuat. Ada perkara yang perlu difikirkan TMJ," demikian kenyataan dibuat Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.

FAM dijangka mengadakan kongres pemilihan Januari tahun depan susulan presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, mahu berundur sejak mengambil alih tugas itu pada 2014.  

About Author

Staff Writer

Comment