Kapten skuad bola keranjang wanita negara, Nur Izzati Yaakob, mengakui pasukannya masih belum berada di tahap terbaik untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos depan, walaupun sudah berguru hampir dua minggu di Perth, Australia baru-baru ini.

Pasukan negara menjalani latihan intensif selama 10 hari di sana dan turut beradu kekuatan dengan beberapa kelab di negara itu -- yang menyaksikan skuad bimbingan Yoong Sze Yuin mencatat lima kemenangan dan tiga kekalahan.

Izzati, bagaimanapun, belum berpuas hati dengan prestasi keseluruhan skuad walaupun keputusan itu tampak memuaskan.

"Masa di Australia itu, saya mempelajari banyak perkara," katanya. "Saya fikir bahagian pertahanan perlu dipertingkatkan. Ia sedikit longgar sebab kurang komunikasi."

Izzati cemerlang mengetuai skuad negara untuk mengakhiri kemarau lapan tahun meraih emas Sukan SEA di Singapura, dua tahun lalu.

Diletakkan harapan bagi mengulangi kejayaan itu di Kuala Lumpur, pemain di posisi point guard itu bersikap waspada bagi melunaskan misi tersebut.

"Kebanyakan pemain (lama) ada lagi, mungkin dua orang sudah keluar. Diharapkan pemain baru dapat menyesuikan diri dengan pasukan."

Secara keseluruhan, skuad bola keranjang wanita negara meraih 13 emas dan empat gangsa dalam penyertaan dalam temasya Sukan SEA.