Zii Jia sasar layak ke final Kejohanan Badminton Remaja Dunia

By Ammar Hakim 11 October 2016
Zii Jia sasar layak ke final Kejohanan Badminton Remaja Dunia

Pemain perseorangan remaja negara, Lee Zii Jia, memasang impian untuk menjejakkan kaki ke final Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang dijadualkan berlangsung di Sepanyol bulan depan.

Zii Jia menjadi sandaran negara dalam acara perseorangan remaja lelaki.

Dengan satu kejuaraan sudah pun digapai Zii Jia di Terbuka Remaja Belanda, Mac lalu, serta menghuni ranking kedua remaja dunia, pemain berusia 18 tahun ini yakin mampu mempamerkan aksi terbaik untuk melangkah ke final.

Di bawah kendalian jurulatih, Indra Wijaya, Zii Jia berasakan terdapat peningkatan dalam gaya permainannya untuk menghadapi cabaran di Sepanyol nanti.

“Jepun, Taiwan, Thailand, India dan China adalah antara pesaing saya di Sepanyol. Berada di ranking kedua, mara ke final merupakan antara sasaran saya,” jelasnya.

Selain Zii Jia, cabaran perseorangan lelaki juga akan digalas oleh dua lagi pemain negara, Sim Fong Hau dan Leong Jun Hao.

Sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Remaja Dunia, skuad negara akan menjalani latihan pusat di Perancis bermula 24 Oktober ini.

“Saya masih ada dua minggu sebelum berangkat ke Perancis, saya berharap kami akan berlatih dengan baik bagi persiapan ke Kejohanan Remaja Dunia ini.”

About Author

Ammar Hakim

Comment