Ketua jurulatih skuad badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, menganggap langkah Lee Zii Jia menjelang kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 lebih pantas daripada jangkaannya, sekali gus membayangkan pemain itu bakal menjadi penyelamat negara dalam misi memburu pingat emas.

Datuk Lee Chong Wei, yang masih dalam pemantauan ekoran kanser hidung, tidak diberi tekanan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk diletakkan sasaran emas dalam temasya itu.

Bagaimanapun, Misbun kini mampu menghela nafas lega dengan peningkatan prestasi Zii Jia yang pada awalnya hanya diletakkan dalam perancangan ke Sukan Olimpik 2024.

Peningkatan mendadak pemain berusia 21 tahun itu dengan menampakkan kematangan luar biasa di dalam gelanggang melonjakkan dirinya untuk menjadi sandaran pingat emas di Tokyo.

"Perancangan saya terhadapnya adalah untuk Sukan Olimpik 2024, namun berdasarkan perkembangan terkini, dia menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

"Berdasarkan perkembangan itu dan keadaan kesihatan Datuk Lee (Chong Wei), apa salahnya untuk perancangan itu diubah sedikit dan saya percaya jika segala-galanya berjalan lancar, impian itu mampu tercapai," katanya.

Misbun hanya menuntut komitmen penuh daripada Zii Jia untuk merealisasikan impian itu.

Tumpuan utamanya hanya untuk memastikan Zii Jia menampilkan teknik lebih berkesan untuk mencabar reputasi jaguh dunia yang lain.

"Dia sudah memiliki segala-galanya untuk mencabar di pentas tertinggi.

"Dalam tempoh beberapa bulan ini, dia pelu memenuhi segala yang kami harapkan daripadanya," tambahnya.

Sementara itu, Chong Wei menganggap misi meraih pingat emas di Tokyo masih jauh untuk direalisasikan jika dilihat kepada situasinya ketika ini.

Mustahil untuknya menyasarkan pingat emas ketika dia masih belum beraksi dalam mana-mana kejohanan kompetitif sejak September tahun lalu.

Baginya, dia perlu memberikan perhatian terhadap saingan kelayakan Sukan Olimpik, Mei depan sebelum meletakkan sebarang sasaran pingat.

"Saya mahu layak ke temasya itu, namun ia bukan tugas mudah.

"Setakat ini, saya hanya mahu meletakkan sasaran untuk meraih pingat.

"Skuad perseorangan lelaki negara kini memiliki (Liew) Daren, Zi Jia dan beberapa pemain muda.

"Ia sesuatu yang baik kerana kami perlu berusaha keras bersama-sama dan melihat siapa yang akan layak ke Tokyo," katanya.

Kejohanan Piala Sudirman akan menjadi sasaran baru Chong Wei andai dia tidak dapat beraksi dalam Terbuka Malaysia, April depan.

"Saya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di Taiwan bulan depan.

"Saya akan menunggu kebenaran doktor untuk kembali beraksi.

"Saya mahu menjalani latihan penuh untuk menilai tahap kesihatan saya.

"Jika segala-galanya baik, saya mahu beraksi dalam Terbuka Malaysia.

"Jika tidak, saya akan beraksi dalam Piala Sudirman," tambahnya.