Jurulatih skuad badminton remaja negara, Kwan Yoke Meng, sedia berbincang dengan jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock, dalam mempersiapkan harapan Malaysia, Goh Jin Wei, yang akan bersaing dalam Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, Oktober depan.

Jin Wei layak secara merit untuk ke Sukan Olimpik Remaja berdasarkan kedudukan ranking.

Justeru, dalam tempoh empat bulan sahaja lagi sebelum berlangsungnya temasya itu, Yoke Meng akan berbincang dengan Seu Bock tentang program latihan Jin Wei memandangkan pemain muda itu berada dalam skuad perseorangan wanita senior.

Menurut Yoke Meng, Jin Wei berpeluang untuk meraih pingat dalam temasya itu jika dia dipersiapkan dengan pelan latihan rapi.

"Kami tidak akan mengganggu program latihan Seu Bock.

"Program kebangsaan untuk perseorangan wanita sudah dipersiapkan sepanjang tahun ini dengan pembabitan mereka dalam kejohanan-kejohanan sudah diatur buat Jin Wei.

"Sukan Olimpik Remaja merupakan antara programnya," kata jurulatih itu.

Selain itu, Yoke Meng juga masih berharap agar seorang lagi pemain perseorangan, Ng Tze Yong, dapat melayakkan diri ke temasya itu sebelum tarikh tutup pada Ogos.

"Kita mengharapkan pemain perseorangan lelaki, Tze Yong, turut layak secara merit," ujarnya.