Pemain perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying, mahu membuktikan dia berhak berada dalam skuad negara dan bukan sebagai pengganti dalam saingan badminton Berpasukan Campuran Asia di Vietnam, 14 Februari ini.

Ying Ying tersenarai ke Vietnam apabila pemain sandaran, Goh Jin Wei, mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika beraksi dalam Kejohanan Masters Malaysia di Sibu, Sarawak, bulan lalu.

Peluang yang datang mahu dimanfaatkan YingYing dengan membuktikan dia juga antara pemain perseorangan wanita yang boleh diharapkan ketika berlangsungnya perlawanan kompetitif.

Ying Ying pernah menampilkan aksi membanggakan apabila muncul naib juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2015, dan kini dia mahu mengulangi persembahan tersebut bersama skuad senior.

"Saya menjalani persiapan rapi untuk menghadapi Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Vietnam kerana tidak rela berputih mata lagi.

"Saya nak buktikan saya pun boleh menyumbang mata buat pasukan negara," katanya.

Dari segi teknikal dan kawalan gelanggang, Ying Ying mengakui dia tidak mempunyai banyak masalah dengan jurulatihnya, Rony Agustinus, menggesa anak buahnya itu agar tampil lebih yakin apabila berdepan lawan.

"Sebenarnya, saya mampu beraksi baik dalam latihan tetapi tampil kurang meyakinkan dalam perlawanan kompetitif.

"Oleh kerana itu, saya gagal menampilkan aksi terbaik.

"Dia (Rony) agak bimbang mengenainya."