Pemain beregu wanita negara, Lim Yin Loo, 29, berharap gandingannya bersama Yap Cheng Wen kali ini lebih menjadi selepas beberapa kali bertukar pasangan.

Dengan faktor usia semakin menghampiri penghujung karier buat Yin Loo, gandingannya bersama Cheng Wen diharapkan mampu untuk bersaing, apatah lagi bahagian beregu wanita kini dilihat antara kelemahan utama dalam skuad negara.

Dia pernah berpasangan dengan beberapa lagi pemain sebelum ini, namun tidak kekal lama, dengan beberapa faktor seperti prestasi dan kecederaan menjadi penghalang.

Lantas, Yin Loo mengharapkan gandingannya bersama Cheng Wen mampu menjelmakan keputusan lebih baik, dengan pencapaian mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia 2017 menjadi sandaran.

"Saya kerap bertukar rakan gandingan. Di tahap umur sekarang, saya berasa ia akan menjadi pertukaran terakhir.

"Saya akan cuba yang terbaik dan berharap untuk membawa Cheng Wen ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Yin Loo mengakui aspek fizikal menjadi antara penghalang utama buat mereka untuk mencabar beregu handalan dunia yang lain.

Ini kerana masing-masing tidak mempunyai ketinggian yang dapat membantu andai ingin menguasai gelanggang dan permainan dengan lebih berkesan.

Yin Loo tetap yakin perkara itu dapat diatasi dengan corak permainan berbeza untuk memanfaatkan kelebihan lain, iaitu kepantasan untuk menutup ruang.

"Ketika berhadapan dengan lawan dari Eropah, mereka sering membuat hantaran tinggi dan jauh.

"Oleh itu, posisi kami akan berada lebih rapat."