Wei Feng teruskan kemaraan di Sibu

By Shaiful Shamsudin 18 January 2017
Wei Feng teruskan kemaraan di Sibu
Kemaraan pemain perseorangan lelaki negara, R. Sathieshtharan, dalam Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia 2017 tersekat selepas kecundang dalam aksi pusingan kedua di Sibu, hari ini. 

Selepas mengungguli pusingan pertama semalam, pemain Indonesia, Anthony Ginting, menjadi halangan berikutnya buat Sathieshtharan. 

Set pertama menyaksikan permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pemain tetapi sedikit kesilapan membawa padah buat wakil negara itu. 

Hasilnya, dia kecundang 21-14 kepada Anthony dalam set berkenaan. 

Sathieshtharan kemudian sedikit hilang punca pada awal set kedua apabila ketinggalan 7-1 kepada lawan, sekaligus memberikan kesukaran buatnya untuk mempamerkan kebangkitan. 

Ketika dia mula menemui rentak, ia sudah terlewat apabila Anthony menutup pertemuan, juga menerusi kemenangan 21-14. 

Sementara itu, pemain profesional, Chong Wei Feng, meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga. 

Bekas pemain kebangsaan itu tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan tentangan Henrikho Kho Wibowo dengan keputusan straight set.

Tidak seperti aksi pusingan pertama ketika berdepan Sony Dwi Kuncoro di mana Wei Feng terpaksa bertarung dalam tiga set,  kali ini dia hanya memerlukan 36 minit untuk melakar kemenangan 21-15, 21-9 untuk berentap dengan Anthony dalam pusingan ketiga nanti. 

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki, Sim Fong Hau, gagal menyaingi pemain Korea Selatan, Lee Hyun Il, dengan tunduk 21-7, 21-13.

Namun, perjuangan diteruskan buat Tan Jia Wei selain beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo, dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie.




KEPUTUSAN LAIN: 

Beregu campuran
Hoo Pang Ron/Peck Yen Wei kalah kepada Lin Chia Yu/Wu Ting Jung 22-20 21-16

Beregu campuran
Low Hang Yee/Cheah Yee See kalah kepada Didit Juang/Keshya Nurvita Hanadia 11-21 21-14 21-17

Beregu campuran
Chen Tang Jie CHEN/Tew Jia Jia kalah kepada Alexander Ronald/Melati Daeva Oktavianti 21-16 21-14

Beregu lelaki 
Hoon Thien How/ Teo Kok Saing menang Aaron Chia/Tan Jinn Hwa 21-17 21-16

Perseorangan wanita
Ho Yen Mei kalah kepada Fitriani 21-17 21-13

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment