Pemain perseorangan lelaki Kelab Badminton (KB) Puchong United, Chong Wei Feng, kini makin serasi dengan format baru saingan SS Purple League (SSPL) dan bersedia untuk berdepan pencabar dari KB Serdang, Lee Zii Jia, dalam pusingan kedua kejohanan itu, esok.

Wei Feng pada mulanya sukar untuk menyesuaikan diri dengan format, di mana setiap perlawanan perlu dihabiskan dalam tempoh 30 minit tanpa mengambil kira kedudukan semasa.

Namun, dia belajar daripada kekalahan 1-2 di tangan pemain KB Bandar Utama Dragons, Wei Nan, dalam perlawanan pertama bagi memastikan kemenangan berdepan Zii Jia menjadi miliknya.

Strategi utama adalah kekal fokus tanpa memikirkan masa yang terhad dalam mendapatkan momentum perlawanan dengan lebih cepat.

"Paling penting, perlu fokus pada perlawanan. Kalau fikirkan mengenai masa, sudah tentu kita akan kalah. Yang penting, perlu cari bagaimana untuk mendapatkan mata," katanya.

Pengurus pasukan, Irina Inozemtseva, menyifatkan masih terlalu awal untuk menilai aksi pemain dengan format baru itu kerana percaya mereka dapat mengatasinya dari semasa ke semasa dalam perlawanan akan datang.

"Kami sudah berbincang dengan jurulatih dan pemain. Taktik bukan sahaja melibatkan kemahiran bermain, tetapi berapa cepat dapat memenangi perlawanan," kata Inozemtseva.