Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, menjadikan kekalahan dalam Kejohanan Seluruh England sebagai pemangkin untuk bangkit dalam saingan Terbuka India, bermula 28 Mac ini.

Seluruh England 2017 tidak berakhir seperti yang diharapkan oleh V Shem-Wee Kiong.

Meskipun tampil dengan aksi kemas dan konsisten sepanjang saingan, mereka akhirnya akur apabila terkandas di peringkat suku akhir selepas tunduk kepada pasangan China, Li Jun Hui- Liu Yu Chen, 21-19, 17-21, 21-19.

Justeru, di India nanti, mereka bertekad untuk memperbaiki segala kelemahan, terutama keadaan mental ketika mengharungi situasi genting dalam permainan.

"Kami akan menghadapi pertandingan di India selangkah demi langkah sebab kami akan menghadapi pasangan beregu dari Thailand dalam pusingan pertama dan kemudian berdepan beregu Jepun.

"Saya harap kami dapat tampil lebih baik," kata V Shem.

Tidak lagi bergelar pasangan nombor satu dunia, ia sedikit pun tidak menggusarkan V Shem-Wee Kiong.

Sebelum ini, mereka di puncak dunia, namun kegagalan dalam Seluruh England menyebabkan kedudukan itu dirampas oleh gandingan Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

"Kami tidak begitu gusar sebab ranking dunia sentiasa ada naik dan turun.

"Selepas Terbuka India nanti, saya harap kami dapat kembali ke kedudukan nombor satu dunia.

"Yang penting, kami menyasarkan sekurang-kurangnya menyamai pencapaian tahun lalu, iaitu mara ke peringkat separuh akhir."