Beregu lelaki negara, Tan Wee Gieen-Tan Chee Tean, yang dibimbing jurulatih baru, Rosman Razak, meletakkan sasaran untuk menempatkan diri dalam kelompok 30 beregu terbaik dunia sebagai misi penting 2017.

Hari kelima di bawah kendalian Rosman, Wee Gieen dan Chee Tean sudah boleh menyesuaikan diri dengan corak latihan jurulatih baru itu.

Banyak perkongsian dan perbincangan dilakukan oleh kedua-dua pihak dan antara yang menjadi keutamaan tahun ini adalah mengejar ranking 30 terbaik dunia.

Untuk itu, mereka perlu membuktikan bahawa mereka mampu menjadi sandaran terbaik selepas pasangan utama negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem.

"Sepanjang lima hari ini, saya didedahkan dengan kemahiran baru yang sangat bagus untuk saya dan boleh mengubah saya menjadi pemain yang lebih baik," ujar Wee Gieen.

Selain mereka, dua lagi pasangan yang mereka perlu atasi dalam kem Malaysia adalah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta Chooi Kah Ming-Low Juan Shen.

Wee Gien dan Chee Tean kini berada di kedudukan ke-58 dunia dan kejohanan terdekat yang bakal disertai mereka adalah Malaysia Masters di Sibu Sarawak, 17 Januari ini.

"Yang pertama sekali, kami perlu tahu perancangan semasa kejohanan dan yang keduanya, semasa dalam latihan kami perlu fokus kepada pelan taktikal permainan yang amat dititikberatkan ketika ini," kata Chee Tean