Jurulatih badminton beregu lelaki negara, Vountus Indra Mawan, berharap pengalamannya berkelana ke Belanda sebelum ini dapat membantu dirinya untuk meningkatkan lagi prestasi barisan pemain negara.

Walaupun usianya baru mencecah 28 tahun, Vountus sudah mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan, termasuk menjadi ketua jurulatih remaja bagi salah sebuah akademi badminton di Belanda awal tahun ini dan itu sedikit-sebanyak membantunya untuk mendalami ilmu sebagai jurulatih.

Secara tidak langsung, ia juga memberikan peluang buat bekas pemain kebangsaan itu untuk mencuba apa yang telah dipelajarinya di Belanda untuk diterjemahkan kepada pemain-pemain kebangsaan.

"Pengalaman di Belanda, saya memegang jawatan sebagai ketua jurulatih bahagian pembangunan.

"Apa yang saya dapat lihat dari sana, mereka menggunakan komunikasi dua hala melibatkan pemain dan jurulatih dalam usaha untuk memahami corak, pendekatan serta teknik masing-masing," katanya.

Vountus menjadi pilihan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Jeremy Gan yang menerima tawaran daripada Persatuan Badminton Jepun.

Pelantikannya diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) minggu lalu, namun sesi latihan pada hari ini merupakan yang pertama buat Vountus.

Berdasarkan pemerhatian awal, dia yakin dengan potensi pemain yang berada di bawah kendaliannya untuk dibawa ke satu tahap yang lebih baik.

"Setakat ini, saya tidak berdepan banyak masalah. Daripada segi komunikasi juga tiada masalah.

"Buat masa sekarang, saya akan mengikut perancangan Soon Kit untuk tiga bulan pertama," katanya.