Beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei tidak ada alasan untuk diungkapkan susulan menamatkan kempen di Siri Super Final , Dubai, tanpa sebarang kemenangan.

Vivian dan Khe Wei sudah tersingkir lebih awal selepas tewas dua perlawanan peringkat kumpulan kepada beregu dari Denmark dan Korea Selatan.

Atas dasar itu perlawanan terakhir mereka bagi musim ini menentang beregu meningkat naik China, Chen Qingchen/Jia Yifan ibarat penebus kehampaan.

Permulaan baik pada set pertama bagaimanapun gagal dimanfaat Vivian dan Khe Wei yang tidak berupaya untuk membuka jurang mata daripada Qinqchen dan Yifan.

Tewas set pertama 21-17 beregu negara ubah strategi pada set berikutnya sehingga berjaya mendahului saingan 11-7

Bagaimanapun, rentak permainan tersusun Vivian dan Khe Wei gagal dikekalkan sekaligus buka jalan buat lawan untuk kembali menyamakan kedudukan dan akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan straight sets, 21-18.

"Saya rasa hari ini permainan kami lebih baik berbanding dua perlawanan sebelum ini. Pihak lawan sememangnya pesaing hebat dan mereka bermain dengan lebih baik berbanding kami," jelas Vivian.

Sementara itu, Khe Wei berpendapat sekiranya pengesahan jemputan beraksi di Dubai lebih awal diketahui, kempen hambar mungkin dapat dielakkan.

"Kalau kami tahu lebih awal bahawa kami layak beraksi di Dbai sudah tentu kami akan melakukan persiapan lebih awal. Selepas Terbuka Macau kami sudah pun berehat," ujar Khe Wei.