Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, berazam untuk mengubati kekecewaan mereka susulan terlepas aksi Kejohanan Seluruh England, tahun lalu.

Mereka terpaksa melupakan kempen Seluruh England 2016 di atas dua faktor.

Yang pertama, Khe Wei ketika itu masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan lutut dan yang kedua, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika itu mahu kedua-dua pemain itu fokus dalam pemburuan mata bagi mengejar kedudukan ranking untuk layak ke temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

Lantaran itu, pembabitan Vivian-Khe Wei digantikan dengan tiga kejohanan lain, iaitu Terbuka Switzerland, Poland dan Orleans yang menjanjikan pungutan mata yang lebih baik buat mereka.

"Kejohanan Seluruh England kali ini merupakan pertandingan antarabangsa pertama bagi kami tahun ini. Sebab itulah kami memang teruja.

"Tahun lepas, kami berdepan sedikit masalah yang menghalang kami untuk beraksi dalam Seluruh England. Jadi, tahun ini kami tidak sabar-sabar untuk beraksi," ujarnya.

Selepas kemarau meraih sebarang kejuaraan sepanjang 2016, pasangan beregu wanita itu memulakan kalendar 2017 dengan momentum baik dengan menggondol gelaran juara Kejohanan Kebangsaan di Ulu Kinta, bulan lalu.

Kejohanan Seluruh England merupakan kejohanan antarabangsa sulung mereka tahun ini, oleh itu sudah semestinya Vivian-Khe Wei sudah mencongak strategi bagi menghadapi lawan dari Thailand, Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai, dalam pusingan pertama.

"Seingat saya, kami pernah bertemu mereka sebanyak enam kali dan rekod pertemuan kami seimbang.

"Jadi, peluang esok adalah 50-50 dan untuk itu, kami perlu lebih bersedia."