Barisan kejurulatihan beregu wanita negara enggan melihat Vivian Hoo-Woon Khe Wei mempersiakan peluang mengembalikan prestasi mereka selepas menerima jemputan saat akhir untuk beraksi di Siri Super Final.

Vivian Hoo-Khe Wei memperoleh ihsan beraksi di Dubai selepas pasangan Indonesia, Nitya Maheswari-Greysia Polii, menarik diri gara-gara kecederaan.

Tuah memihak Vivian Hoo-Khe Wei memandangkan mereka adalah beregu terbaik dalam kalangan senarai simpanan bagi saingan beregu wanita.

Tanpa sebarang tekanan, Vivian-Khe Wei diharapkan berupaya mempamerkan aksi sebenar selepas berdepan belenggu prestasi pasca Sukan Olimpik Rio.

"Saya harap mereka boleh bangkit mempamerkan aksi terbaik sebab mereka tidak berdepan banyak tekanan.

"Laluan mereka memang mencabar. Saya harap di sana nanti mereka boleh mengejutkan lawan mereka," kata jurulatihnya, Lim Pek Siah.

Pencapaian Vivian Hoo-Khe Wei disifatkan sebagai membimbangkan kerana menjejaskan keyakinan mereka untuk mencabar gandingan terbaik dunia.

Pek Siah berpandangan keputusan baik di Dubai berupaya menjadi pembakar semangat untuk memulakan kempen 2017 nanti dengan langkah kanan.

"Mereka kehilangan keyakinan. Masalah mereka adalah selalu kalah biarpun telah memberi tentangan sengit.

"Kalau mereka menang, keyakinan mereka pasti akan kembali."

Selain Vivian Hoo-Khe Wei, pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, dan beregu lelaki nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, turut beraksi di kejohanan itu nanti.