Pemain bBeregu badminton lelaki negara, Tan Wee Kiong, menepis dakwaan status sebagai pasangan nombor satu dunia memberi mereka tekanan tinggi untuk beraksi lebih baik ekoran prestasi hambar di Terbuka China dan Hong Kong.

V Shem dan Wee Kiong diumumkan menduduki ranking nombor satu dunia sebelum bermulanya saingan Terbuka China, bulan lalu.

Namun, harapan yang disandarkan tidak kesampaian apabila terkandas dalam pusingan pertama.

Kemudian di Terbuka Hong Kong, pasangan itu juga gagal melepasi peringkat suku akhir.

Meskipun keputusan tidak memihak kepada mereka, Wee Kiong tidak berasakan ia adalah disebabkan mereka tertekan membawa gelaran pemain nombor satu dunia di dalam gelanggang.

"Ramai pihak bertanyakan hal ini tetapi bagi saya ini bukan masalahnya.

"Ini bukan masalah utama jika kami mahu kekal sebagai nombor satu dunia.

"Jika boleh, kami memang mahu kekalkannya tetapi apa yang lebih penting adalah untuk kami menjuarai gelaran," katanya.

Destinasi seterusnya adalah final Siri Super di Dubai dan pasangan itu mempunyai tempoh dua minggu untuk memperkemaskan kembali gaya permainan mereka.

"Dari segi persembahan, kami adalah baik. Tapi dari segi keputusan, memang agak tidak bagus dan perlu dipertingkatkan lagi.

"Slot untuk kami di final sememangnya dari awal sudah disahkan. Fokus kami bukan lagi gembira kerana dapat layak, apa yang penting adalah persiapan untuk kejohanan ini."