Beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, tidak perlu mengerah keringat dalam pusingan pertama Kejohanan Siri Super Final di Dubai hari ini, selepas wakil Denmark, Mathias Boe dan Carsten Mogensen, mengundur diri daripada saingan.

"Dia (Boe) terganggu dengan masalah kesihatan kerana menghidap selsema. Beberapa hari sebelum kami sampai, dia sudah dijangkiti selsema, namun kemudiannya nampak makin elok.

"Bagaimanapun, selepas menjalani sesi latihan semalam, keadaanya menjadi lebih teruk. Dalam beberapa hari ini, kami telah berusaha untuk meningkatkan tahap kesihatannya. Malangnya pagi tadi kami sedar dia tidak mampu beraksi," kata jurulatih Denmark, Kenneth Jonassen.

Di sebalik senario ini, jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, mahu anak buahnya agar terus kekal bersedia menentang pasangan meningkat naik China, Li Junhui/Liu Yuchen, esok yang akan menjadi aksi sulung mereka dalam kejohanan ini.

Bagi Jeremy, tidak ada sebarang alasan untuk Wee Kiong dan V Shem tidak mempamerkan aksi setaraf dengan status mereka sebagai beregu nombor satu dunia meskipun dibelenggu masalah kecergasan dan kecederaan.

"Saya harap mereka boleh beraksi bagus dalam kejohanan ini kerana semua pemain terbaik ada di sini. Saya harap mereka boleh buktikan sesuatu, di mana dia sememangnya berada dalam kedudukan empat terbaik di dunia.

"Sekarang ini lebih baik, harap-harap tiada masalah besar. Sakit sikit-sikit itu adalah cabaran mereka. Yang penting mereka ada sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir," kata Jeremy.