Goh V Shem dan Tan Wee Kiong membuktikan reputasi selaku beregu nombor satu dunia menerusi kejayaan di Dubai dengan menutup musim 2016 dengan kejuaraan Siri Super Akhir.

Sebelum ini, kredibiliti V Shem-Wee Kiong sebagai jaguh nombor satu dunia dipersoal memandangkan mereka melonjak ke ranking itu di atas ihsan persaraan beberapa pasangan veteran seperti ikon badminton Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Di Dubai, V Shem-Wee Kiong memastikan kejuaraan milik mereka bukan sahaja dengan rekod tanpa kalah tetapi empat kemenangan, termasuk ke atas tiga beregu yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Aksi dalam perlawanan akhir?

Efisien dan penuh dengan keyakinan untuk merekodkan kemenangan 'straight set' ke atas gandingan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, 21-14, 21-19.

"Hari ini (malam tadi), kami bermain baik menentang pasangan Jepun. Kami lebih bersedia untuk bertemu lawan yang lebih sukar.

"Kami membuktikan bahawa ranking sebagai pemain nombor satu bukan sekadar gelaran. Kami bernasib baik dapat membuktikannya di sini," kata Wee Kiong.

2016 akan sentiasa dikenang sebagai tahun menakjubkan buat gandingan emas Malaysia ini, lebih-lebih lagi apabila memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio, dua kejuaraan Siri Super dan gelaran sebagai beregu lelaki terbaik dunia.

"Saya rasa saya menunjukkan permainan yang bagus. Kami harap dapat mengekalkan prestasi dan rentak kemenangan ini. 2016 ini memang tahun terbaik untuk kami," kata V Shem.

Sudah pasti, cabaran sebenar buat mereka adalah untuk memastikan momentum sama dapat diteruskan bagi musim 2017.

Goh V Shem dan Tan Wee Kiong
Ranking dunia: No. 1

Pencapaian

• Juara Siri Super Dubai
• Juara Siri Super Premier Terbuka Denmark
• Juara GP Emas Masters India
• Pingat Perak Sukan Olimpik Rio