Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, berkongsi pandangan terhadap keserasian menakjubkan anak buahnya, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, dalam misi mendominasi dan merampas takhta selaku beregu no. 1 dunia.

Gan mengakui prestasi semasa gandingan tersebut ketika ini berada di tahap terbaik, namun mahu mereka mengelak daripada terlalu selesa dengan keadaan semasa.

"Sementara ini saya memang puas hati dengan persembahan mereka tetapi saya harap mereka terus memantapkan diri mereka.

"Saya juga mahu mereka terus mendahagakan kejuaraan.

"Ketika ini, mereka sudah menduduki ranking selaku beregu no.2 dunia, jadi mereka perlu kekal konsisten jika mahu berada di tahap itu," katanya.

Walaupun ramai yang tidak menyangka V Shem dan Wee Kiong mampu menduduki ranking no.2 dunia ketika ini, Gan bagaimanapun mendedahkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu memiliki kualiti untuk pergi lebih jauh.

"Kami memang meletakkan sasaran untuk melihat mereka menduduki ranking no.1 dunia. Saya harap mereka ada kemampuan untuk melakukannya.

"Kami memang ada nampak bayangan mereka mampu pergi jauh. Kini mereka sudah dua tahun digandingkan, jadi mereka lebih memahami antara satu sama lain.

Sementara itu, Gan menegaskan pentingnya V Shem dan Wee Kiong mengekalkan persefahaman tinggi di atas gelanggang sekiranya mahu meletakkan diri mereka dalam kalangan beregu terbaik dunia.

"Kombinasi dan komunikasi lancar sangat penting, terutama di atas gelanggang, kerana kadang-kala salah faham akan berlaku. Jadi, komunikasi di antara kedua-dua pemain sangat mustahak."