Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, menegaskan beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mampu menjulang kejuaraan kedua di Terbuka Perancis minggu ini jika berjaya mengekalkan prestasi seperti dilakukan di Terbuka Denmark.

Frost menyifatkan pasangan itu semakin menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan kembali menemui rentak permainan.

Selepas Datuk Lee Chong Wei dan Chan Peng Soon mengalami kecederaan, Frost percaya pasangan pemenang pingat perak Olimpik Rio itu tiada masalah dengan tahap kecergasan jika mampu mengekalkan aksi konsisten sepanjang kejohanan.

"Saya tidak fikir kecergasaan menjadi isu kerana saya fikirkan ia akan kembali pulih.

"Ia bukanlah aksi terbaik mereka ketika di final tetapi mereka mendapat keputusan yang lebih baik dan bermain cukup konsisten setakat ini. Diharapkan mereka meneruskan momentum itu di Terbuka Perancis," katanya.

Sementara itu, jurulatih beregu negara, Pang Cheh Chang, berharap pasangan itu tidak dilanda kecederaan sepanjang kejohanan Siri Super bagi mengekalkan aksi konsisten.

"Setiap perlawanan dalam Siri Super dan Siri Super Premier memberikan tekanan untuk pulih.

"Jadi, agak susah untuk menjadi juara berturut-turut, terutama dalam acara beregu," katanya.

V Shem dan Wee Kiong meraih kejuaraan pertama Siri Super dengan menggunguli Terbuka Denmark semalam susulan kemenangan ke atas pasangan Thailand, Bodin Issara/Nipitphon Puang-Papech.

Pasangan negara menang 14-21, 22-20, 21-19 dalam tempoh satu jam.

Gandingan V Shem/Wee Kiong cukup menyerlah tahun ini walaupun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara dalam kebanyakan kejohanan yang disertai.

Namun, kejayaan terbaru di Denmark, selain India dan Rio, pastinya mampu meniupkan semangat juang yang lebih tinggi selepas ini.