Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) bagi pemantapan sokongan sains sukan yang akan dimanfaatkan pemain pelapis dan remaja yang tersisih daripada program Institut Sukan Negara (ISN).

Kerjasama unik ini, bagaimanapun, akan diuji untuk tempoh enam bulan terlebih dahulu sebelum BAM dan Bahagian Sukan UM kembali berbincang.

Selain menawarkan setiap kemudahan yang ada di kampus universiti itu, UM juga akan menawarkan kepakaran dalam membentuk profil fizikal dan mental pemain.

“Setiap pemain yang ada dalam program ini mempunyai karakter fizikal masing-masing.

"Ini mempengaruhi prestasi daripada segi kelemahan dan kekuatan mereka.

"Kami boleh mengenal pasti kelemahan setiap atlet. Selepas itu, kami mempunyai program yang boleh meningkatkan prestasi mereka.

"Setiap atlet akan menjalani ujian tersebut. Kami mempunyai makmal analisis pergerakan. Kami akan mengkaji corak berjalan, melompat dan aksi atlet,” kata Timbalan Naib Canselor UM, Profesor Faisal Rafiq Mahamad Adikan.

Kerjasama itu juga tidak hanya eksklusif kepada pemain memandangkan pendedahan juga akan diberikan kepada jurulatih.

“Kami mempunyai jurulatih yang mengalu-alukan sains sukan dan ada juga yang bersikap tradisional.

"Kami perlu mendidik mereka agar dapat membawa pemain untuk menggunakan perkhidmatan di UM.

"Saya mahu mereka menjadikan ini sebagai satu budaya untuk menggunakan kemudahan ini,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.