Jurulatih badminton negara, Hendrawan serta Rony Agustinus, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri mengenai program kecergasan terperinci yang bakal dilaksanakan bermula Januari 2017.

Pada Selasa lalu, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menetapkan bahawa semua pemain di bawah naungan badan induk itu perlu menjalani ujian kecergasan fizikal selama tiga bulan.

Ia bagi memastikan mereka berada di tahap yang memuaskan dan lebih kompetitif untuk menyertai sebarang pertandingan.

Langkah ini disambut baik jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, kerana ia dapat membentuk persaingan yang lebih baik di kalangan pemain, khususnya pemain remaja.

"Pemain harus memiliki kecergasan tinggi. Faktor ini akan membantu mereka untuk menjadi pemain utama.

"Tapi, bukan semua pemain mampu melepasi ujian ini," ujarnya.

Rony pula melihat ujian kecergasan itu dapat membantu meningkatkan bahagian perseorangan wanita.

Namun, pada masa sama, beliau tidak menolak setiap pemain mempunyai kualiti yang berbeza dan berharap satu penyelarasan sesuai dapat dilakukan terhadap program berkenaan.

"Kita harus memastikan pelarasan kerana setiap kategori pemain juga berbeza. Begitu juga dengan kualiti dan gaya ketahanan mereka berbeza dan ini harus ditambah baik dahulu.

"Setiap pemain memiliki daya tahan yang berbeza dari segi ketahanan dan kekuatan, ia perlu diselaraskan," katanya.