Tumpuan skuad negara kini beralih kepada Piala Sudirman

By Ammar Hakim 20 February 2017
Tumpuan skuad negara kini beralih kepada Piala Sudirman

Tamat kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia, skuad negara perlu lebih bersedia kerana tiga bulan dari sekarang, mereka bakal menghadapi satu lagi kejohanan penting, iaitu Piala Sudirman di Gold Coast, Australia pada bulan Mei.

Perlu diingatkan, sebelum bermulanya kejohanan, pelbagai isu melanda kem badminton negara, daripada isu persengketaan pemain perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, dengan Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, sehinggalah pengguguran saat akhir pemain sandaran, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, dan pemain beregu campuran Tan Kian Meng, ekoran mengalami kecederaan serius.

Namun, kem badminton negara yang dibarisi pemain muda tetap meneruskan perjuangan mereka di sini sebagai persiapan menghadapi Piala Sudirman.

Biarpun sasaran untuk mara ke separuh akhir gagal dicapai, barisan kejurulatihan negara tetap berpuas hati dengan barisan muda ini yang dilihat mampu bersaing dengan pemain handalan dunia, cuma mereka perlu lebih kerap diberi pendedahan beraksi di peringkat antarabangsa.

“Satu hari nanti, mereka mampu menggalas tanggungjawab untuk beraksi dalam Piala Thomas. Saya percaya pengalaman dalam kejohanan ini banyak membantu meningkatkan mutu permainan mereka,” kata jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit.

Di pihak pemain pula, mereka menganggap ini sebagai satu proses pembelajaran dalam mematangkan mereka untuk menjadi pemain yang lebih baik untuk masa mendatang.

Sebagai contoh, berdepan dengan barisan bintang China, biarpun tewas, ia menjadi pengajaran berguna buat barisan pemain negara untuk menilai tahap permainan mereka.

“Saya dapat mengetahui kekurangan dalam permainan saya, ini merupakan satu pengajaran buat saya untuk terus bekerja keras,” ujar pemain perseorangan negara, Lim Chi Wing.

About Author

Ammar Hakim

Comment