Hanya 500 keping tiket diperuntukkan setiap hari dari 4 hingga 9 April ini bagi menyaksikan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata.

Ini kerana semua tiket yang ditawarkan sebelum ini sudah habis terjual, terutama tiket pada 8 dan 9 April yang menyaksikan pusingan separuh akhir dan akhir, kata Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, sambutan ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan tiket yang berbaki itu adalah yang akan dijual di Stadium Perpaduan pada hari kejohanan.

"Kami menerima begitu banyak permintaan hingga ejen-ejen yang dilantik tidak lagi memiliki stok," katanya.

Aksi pusingan awal kejohanan berstatus Siri Super itu, bagaimanapun, akan dibuka secara percuma kepada peminat.

Kejohanan tersebut menawarkan hadiah berjumlah ASD600,000.

Jelas Abdul Karim, pihaknya akan menghentikan penjualan tiket pada 20 Mac ini bagi mengelakkan penjualan tiket-tiket palsu dan jualan dalam pasar gelap.

Selepas aksi Seluruh England yang dimenangi Datuk Lee Chong Wei, katanya, kejohanan di Kuching ini pasti akan menjadi tumpuan, apatah lagi musuh ketatnya, Lin Dan, akan turut beraksi.

"Itu adalah antara faktor yang menyebabkan jualan tiket ini umpama pisang goreng panas," tambahnya lagi.

Kejohanan ini akan menelan belanja RM3.9 juta, dengan RM600,000 adalah tajaan Kerajaan Negeri Sarawak.

"Ia akan ditayangkan secara langsung oleh Astro Arena ke 30 negara dan ini adalah peluang terbaik untuk kami mempromosikan Sarawak," katanya.