Tiba masanya Chong Wei nikmati perlawanan -- Seu Bock

By Staff Writer 26 September 2016
Tiba masanya Chong Wei nikmati perlawanan -- Seu Bock
Barisan kejurulatihan perseorangan negara mahu melihat Datuk Lee Chong Wei kekal ghairah dengan kejohanan badminton kompetitif berbanding meletakkan tekanan untuknya terus memenangi kejuaraan.

Chong Wei mengesahkan menarik diri daripada saingan Siri Super Terbuka Korea Selatan selepas memenangi Terbuka Jepun, semalam, atas faktor kecergasan.

Malah, penampilan pemain nombor satu dunia itu di Tokyo adalah atas dasar tuntutan penaja.

Kejuaraan dalam Terbuka Jepun itu adalah yang keenam dan secara keseluruhan ia menjadi gelaran ke-65 sepanjang kerjayanya.

"Bagi saya, ini adalah masa untuk dia menikmati perlawanan. Kalau nak difikirkan, memang kami mengharapkan dia menjadi juara, tetapi kalau harapkan dia juara, mungkin tekanannya berlainan.

"Tetapi, kalau dia menikmati perlawanan, mungkin dia boleh bermain lagi lama. Tidak ada tekanan sangat. 

"Sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan dia akan menjadi juara dalam setiap kejohanan. Manusia, memang tidak mungkin sempurna," kata jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock.

Chong Wei dijangka kembali beraksi di Eropah bermula dengan Siri Super Premier Terbuka Denmark, Oktober ini.

Bagi Seu Bock, cabaran buat barisan kejurulatihan negara adalah merangka program penyertaan kejohanan yang bersifat lebih sistematik, sambil tidak menjejaskan ranking dunianya untuk musim 2017.

"Tahun depan, mungkin kita akan buat program lain sedikit dari segi pertandingan. Dari segi latihan, mungkin tidak banyak perubahan yang boleh kami buat kerana umur semakin meningkat. 

"Tetapi, dari segi pertandingan, mungkin kami akan pilih pertandingan yang lebih sesuai untuk dia, mungkin tidak terlalu banyak. Sudah tentu kalau dalam persiapan, ia lebih kepada Kejohanan Dunia," katanya.

Selain Terbuka Denmark, Chong Wei masih mempunyai banyak lagi kejohanan untuk disertai tahun ini, termasuk Siri Super Terbuka Perancis dan Siri Super Terbuka Hong Kong pada penghujung Oktober dan November nanti.

About Author

Staff Writer

Comment