Kewujudan Akademi Badminton Malaysia serba canggih di Bukit Kiara yang sudah beroperasi sepenuhnya menjadikan pemain kebangsaan tiada alasan untuk mencapai kejayaan cemerlang di pentas dunia.

Perkara itu ditegaskan pemangku presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al Amin Majid, bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengenai akademi berkenaan.

Najib menerusi blog rasminya, najibrazak.com, menyatakan akademi yang dilengkapi fasiliti bertaraf dunia itu diwujudkan bagi memacu lagi perkembangan sukan badminton dan melahirkan pemain pelapis berprestasi tinggi.

"Tiada alasan buat atlet untuk tidak mencuba memberikan yang terbaik, mereka mesti cuba mencapai prestasi sebaik mungkin.

"Daripada apa yang dikatakan oleh Morten Frost (Pengarah Teknikal BAM), mengikut pengalaman beliau, ini adalah kemudahan latihan terbaik yang pernah dilihatnya," katanya.

BAM sebelum ini pernah mewujudkan akademi badminton di Cheras, dan Al-Amin mengakui sebagai sukan yang popular, sudah tentu badan itu berdepan dengan tekanan setiap masa.

BAM juga berikrar untuk memastikan bahawa akademi yang baru ini akan mencapai objektifnya.

"Kami harap dapat meletakkan jurulatih yang dianggap terbaik dan juga dengan kehadiran pengarah teknikal terbaik. Program yang diaturkan juga mesti dirancang dengan baik.

"Pada akhirnya, sama ada berjaya atau tidak, terpulang kepada pemain itu sendiri. Kejayaan dituntut kalau boleh dalam setiap masa. Soal tekanan tidak berbangkit, ia satu perkara biasa," tambahnya.