Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, memberikan ucapan penghargaan terhadap jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, yang mengumumkan persaraannya semalam.

Menerusi catatan di laman sosial Instagram beliau hari ini, Perdana Menteri melahirkan rasa terharu dan sedih kerana Chong Wei sudah bersara tetapi tetap berbangga kerana Malaysia telah melahirkan seorang jaguh yang membawa nama negara ke persada dunia.

"Saya berasa terharu dan sedih kerana juara negara, Chong Wei, sudah bersara. Saya harap dia dapat rehat dan sembuh daripada penyakit yang dihadapi," katanya.

Sementara itu, Dr Siti Hasmah menyifatkan keputusan Chong Wei sebagai pilihan tepat sambil menyatakan keyakinan legasi badminton itu akan dapat diteruskan anak-anaknya satu hari nanti.

"Anda telah memilih keputusan tepat. Keluarga anda sentiasa ada, isteri anda menunggu bersama dua anak. Nikmatinya dan seperti anda nyatakan, anda telah mengajar mereka bagaimana untuk bermain badminton. Insya-Allah, anda akan saksikan mereka beraksi dan meraih pingat Sukan Olimpik untuk anda apabila berpeluang," ujarnya.

“Saya berdoa semoga kesihatan Chong Wei bertambah baik, diberkati dan bergembira dengan keluarga dan selamat maju jaya. Terima kasih atas sumbangan selama ini yang diberikan kepada negara ini."

Semalam, Chong Wei mengumumkan persaraan selepas bergelar pemain profesional selama 19 tahun, sekali gus menamatkan karier gemilang dengan meraih 46 gelaran Siri Super sehingga diberi gelaran Raja Siri Super.