Impian untuk melakar kejutan dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura akhirnya tercapai apabila beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, muncul juara dengan menundukkan pilihan utama, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, hari ini.

Lebih manis, kemenangan straight set itu adalah gelaran kedua buat pasangan Malaysia itu tahun ini selepas menjuarai Terbuka Jerman, Mac lalu.

Soon Huat-Shevon selaku pilihan kedua kejohanan terlebih dahulu berpeluang menguji kemampuan juara Sukan Olimpik 2016 dari Indonesia itu selepas mara dengan menundukkan beregu campuran Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, dalam separuh akhir semalam.

Bermula garang dalam set pertama, gandingan negara seolah-olah meneruskan momentum baik daripada aksi sebelumnya apabila mendahului permainan 11-6 pada satu ketika.

Namun, sedikit kelalaian membuka ruang buat lawan untuk bangkit mendahului tatkala aksi menuju penghujung set pertama.

Mujur Soon Huat-Shevon tidak mudah melatah, sebaliknya mengikat mata pada kedudukan 19-19 sebelum ia dimuktamadkan dengan kemenangan set pertama 21-19.

Perjalanan set kedua juga tidak seindah dijangka, dengan pendahuluan yang pada satu ketika memihak kem Malaysia sekali lagi cuba disekat beregu campuran nombor satu dunia itu.

Begitupun, bagaikan mengulangi skrip sama dalam set pembukaan, ketenangan beregu negara sekali lagi memerangkap lawan yang akhirnya terpaksa akur tewas 21-18.

Selaku juara, Soon Huat-Shevon bukan sahaja membawa pulang hadiah wang tunai RM113,000, malah menjadi pengalaman berharga bagi persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Nanjing, China, dari 30 Julai hingga 5 Ogos depan.