“Pertahanan mereka cukup kuat,” kata beregu campuran Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, mengenai lawan mereka, pasangan Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, menjelang pertemuan final Kejohanan Badminton Terbuka Singapura, esok.

“Kami akan pelajari permainan mereka. Kami akan lebih bersedia dan akan berusaha semaksimumnya,” kata Liliyana kepada pemberita selepas menewaskan rakan sepasukan, Akbar Bintang Cahyono-Winny Oktavina Kandow, dalam separuh akhir hari ini.

Terdahulu, gandingan Malaysia itu menewaskan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 21-18, 21-14 dalam tempoh 40 minit.

Perlawanan akhir di Stadium Tertutup Singapura itu akan menyaksikan beregu campuran nombor dua negara bertemu wakil Indonesia tersebut buat julung kalinya dan ia tentunya sukar kerana pasangan itu telah tiga kali memenangi Terbuka Singapura selepas empat kali penyertaan.

Nampaknya pemain negara telah menjangkakan mereka akan berdepan dengan pasangan pilihan pertama, Tontowi-Liliyana, di peringkat akhir.

“Ia amat bermakna bagi kami kerana ini adalah perlawanan final pertama kami dan kami sangat teruja untuk berdepan dengan mereka,” kata Shevon mengenai kejohanan yang menawarkan wang tunai berjumlah US$355,000 (RM1.44 juta) itu.

Mengenai prestasi mereka dalam perlawanan separuh akhir, Shevon berkata: Kami memberikan aksi terbaik dalam perlawanan tadi.

“Ini merupakan perlawanan kelima atau keenam kami menentang pasangan Thailand. Saya fikir kami telah faham corak permainan masing-masing. Permainan kami hari ini sangat mantap."