Tiada tekanan tambahan buat pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat, untuk memburu keputusan positif dalam saingan Terbuka Malaysia minggu hadapan.

Terbuka Malaysia 2017 menjadi kejohanan bertaraf Siri Super pertama buat Soon Huat bersama Shevon Lai Jemie sejak digandingkan Disember lalu.

Beregu campuran ketiga negara ini masih mencari rentak untuk memberikan cabaran kepada Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dengan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying masih mengukuhkan
kedudukan selaku beregu campuran utama negara.

Lantas, saingan di Kuching nanti menjadi peluang terbaik buat Soon Huat dan Shevon untuk mengulangi pencapaian dalam GP Emas Masters Malaysia, di mana mereka mara sehingga
ke final.

"Saya memberikan tumpuan sepenuhnya dalam persiapan menghadapi Terbuka Malaysia kali ini, saya berharap gandingan saya bersama Shevon mampu menghasilkan keputusan positif," kata Soon Huat.

"Sasaran kami adalah untuk berada di dalam kelompok 20 terbaik di dunia.

Dalam Terbuka Malaysia nanti, Soon Huat dan Shevon akan membuka cabaran pusingan pertama dengan pertemuan menentang Wang Yilyu-Huang Dongping.

Ini merupakan kali pertama mereka berdepan gandingan dari China itu dan Soon Huat yakin dapat mencipta kejutan andai mampu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.

"Setiap hari selepas tamat sesi latihan, kami akan terus berada di gelanggang bagi memastikan kami memperbetulkan setiap kesilapan yang sering kami lakukan."