Pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei, sedikit gusar apabila dijangka berdepan cabaran getir menentang beregu dari China, Bao Yixin dan Yu Xiaohan, seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia di Sarawak, bulan depan.

Khe Wei, yang kekal bergandingan dengan Vivian Hoo Kah Mun masih belum berani meletakkan sasaran tertentu dalam Terbuka Malaysia selepas sekadar mengakhiri cabaran pada pusingan kedua, tahun lalu.

Tambahan undian terbaru perlihatkan mereka berdepan Yixin-Yu Xiaohan yang dijangka tidak berdepan masalah untuk menundukkan beregu dari India, Meghana Jakkampudi-Poorvisha S. Ram, pada pusingan kelayakan.

Jelas Khe Wei, dia hanya mahu memberi fokus terhadap satu ke satu perlawanan dalam Terbuka Malaysia yang bermula 4 April depan, sebelum memikirkan mengenai peluangnya.

"Mungkin kami sasar untuk pergi lebih tinggi tetapi undian pun tidak berapa bagus sebab pusingan pertama kami akan bertemu beregu China," katanya.

Selain itu, Khe Wei mengakui dia dan pasangan, Vivian, mahu sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini selepas gagal meraih sebarang gelaran antarabangsa sejak mereka digandingkan.

Pencapaian terbaik pada tahun lalu adalah sekadar layak ke separuh akhir dalam Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Macau.

"Dalam Seluruh England, kami bermain bagus. Mungkin di Switzerland kami sedikit kecewa kerana terlalu mahu menang. Perlawanan pun tak menjadi," katanya.