Terbuka Macau: Vivian-Khe Wei ke separuh akhir, Peng Soon-Liu Ying kandas

By Jannah Ali 2 December 2016
Terbuka Macau: Vivian-Khe Wei ke separuh akhir, Peng Soon-Liu Ying kandas
Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Macau di Tap Seac Multisport Pavilion, hari ini, selepas menewaskan pasangan Chinese Taipei, Wen Hao Yun-Ye Jing Ya, 21-15, 21-18.

Vivian dan Khe Wei mengambil masa 32 minit untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir. Satu lagi gandingan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yeann turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan satu lagi pasangan Chinese Taipei, Hsu Ya Ching-Wu Ti Jung, 21-12, 21-14.

Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, terpaksa akur dengan kehebatan gandingan China, Zhang Nan-Li Yinhui, apabila tewas 12-21, 22-20, 15-21 dalam pertarungan satu jam lapan minit.

Kekecewaan Peng Soon dan Liu Ying ditebus oleh gandingan campuran kedua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, selepas berjaya menyerap tekanan gandingan Indonesia, Alfian Eko Prasetya-Annisa Saufika, 22-20, 24-22.

Dalam pada itu, wakil tunggal perseorangan wanita dan lelaki negara, Chong Wei Feng dan Goh Jin Wei ditunjukkan jalan keluar oleh lawan masing-masing.

Wei Feng yang bertemu perseorangan Chinese Taipei, Wang Tzu-wei, tewas 13-21, 17-21, manakala Jin Wei yang berhadapan dengan Chen Yufei dari China, tumpas 14-21, 10-21.

About Author

Jannah Ali

Comment