Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong selepas menewaskan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, hari ini.

Pasangan negara itu tewas set pertama 16-21 kepada pilihan ketiga kejohanan itu, namun bangkit untuk memberikan tentangan di Hong Kong Coliseum dengan memenangi set berikutnya 23-21.

Membawa perhitungan ke set penentuan, Soon Huat-Shevon kemudian menamatkan cabaran selama sejam 7 minit itu dengan kemenangan 21-12 untuk bertemu wakil China, He Ji Ting-Du Yue dalam peringkat berikutnya.

Bagaimanapun, kecemerlangan itu gagal dituruti beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang tewas mudah kepada gandingan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seung Jae.

Hanya 34 minit diperlukan gandingan di ranking ke-13 dunia itu untuk melakar kemenangan 21-13, 21-19, sekali gus menamatkan perjalanan beregu negara.