Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, gagal mara ke saingan separuh akhir Terbuka Denmark selepas tewas kepada pemain Perancis, Brice Leverdez, awal pagi tadi.

Pemain ranking ke-28 dunia itu memerlukan satu jam 17 minit untuk menamatkan cabaran Chong Wei dengan keputusan 21-17, 20-22 ,21-19.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu gagal menempah kemenangan keempat gelaran Terbuka Denmark yang telah dimenanginya pada 2005, 2006 dan 2012.

Malaysia akan meneruskan perjuangan menerusi pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong.

V Shem/Wee Kiong menewaskan beregu China, Li Junhui/Liu Yuchen, dalam saingan suku akhir lewat malam tadi dan bakal bertemu beregu tuan rumah yang juga pilihan kedua kejohanan, Mathias Boe/Carsten Mogensen.