Selepas Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada Terbuka China 15 November ini, sandaran kini tertumpu kepada seorang lagi pemain, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, untuk membawa cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki.

Iskandar adalah satu-satunya wakil negara dalam acara perseorangan lelaki selepas Chong Wei menarik diri ekoran kecederaannya yang masih belum pulih sepenuhnya.

Sedar cabaran di Terbuka China nanti adalah sukar memandangkan ia berstatus Siri Super Premier, Iskandar meletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Iskandar berkata ia kerana tumpuan adalah mengutip mata bagi memperbaiki ranking dunia bagi mengejar kedudukan 20 terbaik sebelum tamat tahun 2016.

“Saya merupakan wakil tunggal BAM (Persatuan Badminton Malaysia) ke Terbuka China, saya kena membuktikan kebolehan saya. Jika melepasi ke pusingan kedua, saya mungkin akan berdepan Chong Wei, jika dia tidak hadir, ia mampu memberikan peluang yang lebih cerah buat saya,” kata Iskandar.

Perkara yang sama turut dikongsikan pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon, untuk menghadapi Terbuka China.

Baru sahaja pulih daripada kecederaan pergelangan kaki kiri, Peng Soon kelihatan bersemangat untuk kembali ke gelanggang, namun dia dalam keadaan berhati-hati kerana khuatir kecederaan mungkin berulang.

Peng Soon berkata dia tidak mahu terlepas aksi di Terbuka China dan Hong Kong kerana mahu mengukuhkan kedudukan untuk slot ke Siri Super Final di Dubai, Disember depan.

“Saya cuba untuk mengelak daripada mengalami kecederaan ini semula. Selepas sesi latihan, saya meletakkan ais supaya kecederaan saya tidak berlarutan,” jelas Peng Soon.

Siri Super Premier Terbuka China berlangsung dari 15 hingga 20 November di Fuzhou, disusuli Siri Super Terbuka Hong Kong, dua hari kemudian.